Maahad Tahfiz Darul Quran Felda Keratong Lima

Maahad Tahfiz Darul Quran Felda Keratong Lima

Rabu, 16 Julai 2014

Sejarah Penubuhan Maahad Tahfiz Darul Quran Felda Keratong Lima (MTDQ)


MTDQ telah dibina di atas tanah simpanan Felda dengan kebenaran bertulis dari pihak pengurusan Felda Keratong Lima, Bandar Tun Abdul Razak, Pahang. Pembinaan awal di atas tanah berkeluasan hampir setengah ekar itu dimulakan pada tahun 1997.

Bangunan pertama MTDQ (Surau)
Pengerusi bersama AJK Penaja
Ianya adalah hasil cetusan ilham daripada Pengasas MTDQ yang merupakan Pengerusi tetap MTDQ iaitu Tuan Haji Nik Buliamin bin Haji Nik Mat.

Tuan Haji Nik Buliamin bin Haji Nik Mat dilahirkan pada bulan September 1946 di Kampung Batu 9, Tanah Merah, Kelantan yang merupakan anak kedua daripada 9 adik beradik. Allahyarham ayahanda beliau ialah Tuan Guru Haji Nik Mat bin Nik Leh yang merupakan salah seorang dari anak murid Tok Kenali , seorang Ulama’ besar di Kelantan pada ketika itu. Ketika umur beliau 1 tahun, beliau telah dibawa oleh ayahanda beliau ke Ban Buketa, Waeng, Thailand kerana dijemput untuk membuka pondok dan mengajar agama di sana. Di Thailand, beliau telah mendapat pendidikan awal di Pondok Munduk, Thailand yang terkenal itu.


Pada tahun 1981 beliau bersama isterinya Puan Hajjah Che Zarah binti Ismail dan 4 orang anaknya pada ketika itu berhijrah ke tanah rancangan FELDA kerana ditawarkan menjadi peneroka di Felda Keratong 5, Rompin, Pahang. Bermulalah kehidupan beliau sebagai Peneroka. Bersama dengan niat yang baik sepertimana asuhan ayahanda, beliau bersama-sama dengan ahli keluarga dan rakan-rakan rapat telah berusaha bertungkus lumus untuk merealisasikan impian bagi mewujudkan sebuah pusat pengajian Al Quran di kawasan kejiranannya. Ini kerana beliau percaya bahawa kewujudannya akan memberi manfaat dan rahmat besar kepada masyarakat sekitar.



Surat Pengesahan Pendaftaran dari JAIP
Pada tahun 1999 MTDQ telah dirasmikan oleh YB Dato’ Hasan Ariffin yang merupakan Timbalan Menteri Besar Pahang pada waktu itu. Ia juga turut dirasmikan bersama Dato’ Dr Haron Din Al Hafiz dan Dato’ Tuan Ibrahim bin Tuan Man.

Rentetan dari usahasama tersebut, beliau telah bekerjasama dengan Al Fadhil Tuan Kadhi Muadzam Shah pada ketika itu iaitu Ustaz Abu Bakar bin Ismail untuk menjadikan MTDQ sebagai sebuah Institusi pendidikan agama yang berdaftar. Alhamdulillah semua urusan dipermudahkan Allah swt bilamana pada tahun 2003 MTDQ telah berjaya didaftarkan sebagai Maahad Tahfiz di bawah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dengan no pendaftaran: JAIP KS 0192/03 sehinggalah ke hari ini.




MTDQ telah dilengkapi dengan kemudahan bangunan Surau sebagai bangunan utama yang boleh memuatkan seramai 300 orang pada satu-satu masa. Juga dilengkapi dengan bangunan kelas, bangunan asrama, bangunan pejabat, bangunan astaka, bangunan rumah guru dan dapur.   Untuk kemudahan pelajar beriadah pada waktu terluang, ia juga dilengkapi dengan padang kecil yang terletak di tengah- tengah kawasan yang dikelilingi kesemua bangunan di atas.
Bangunan Surau MTDQ sekarang


Pemandangan dalam surau

Bangunan Pejabat

Bangunan Kelas


Bangunan Astaka

MTDQ merupakan sebuah kompleks pengajian Al Quran yang direka sedemikian rupa dan dibina sendiri oleh Tuan Haji Nik Buliamin bin Haji Nik Mat untuk keselesaan para pelajarnya.







MTDQ PADA HARI INI telah dan sedang membuat pengambilan pelajar lelaki untuk mengikuti pembelajaran sepenuh masa. Para pelajar ini akan membaca dan menghafal Al Quran ke arah melahirkan para Huffaz yang nantinya akan beramal dengan Al Quran sesuai dengan motto MTDQ iaitu
 “Al Quran Amalan Kami”.


Pengerusi bersama Pegawai Agama MUIP - Ustaz Mohd Azri


Tiada ulasan:

Catat Ulasan